Polis Melaka akan laksana operasi pantau aktiviti berbasikal
AYER KEROH 16 Dis. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan penunggang basikal yang menggunakan laluan jalan utama di negeri ini agar menitikberatkan keselamatan ketika menggunakan jalan raya.
Dalam masa sama Ketua Polis Datuk Abdul Majid Mohd Ali turut menasihatkan peminat sukan basikal itu agar tidak melaksanakan aktiviti terbabit selepas jam 12 tengah malam yang hanya meningkatkan risiko kemalangan.
Abdul Majid turut menasihatkan penggemarkan sukan itu agar mengelakkan aktiviti berkenaan pada waktu puncak di melibatkan laluan utama.
“Walaupun, setakat ini tiada laporan berhubung kemalangan jalan raya membabitkan pengguna basikal di negeri ini bagaimanapun semua penunggang perlu menitikberatkan keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Bagi memastikan perkara ini terkawal, satu operasi bagi memantau aktiviti ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini termasuk membabitkan kesalahan jalan raya yang dikenakan agar perkara ini mampu dikawal di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, aktiviti berbasikal menjadi trend baharu di negara ini sehinggakan menimbulkan pelbagai reaksi malah mendatangkan bahaya kepada penunggang basikal serta pengguna jalan raya.
Menurutnya pada laporan media tempatan berkata, sebanyak 56 kes penunggang basikal maut dalam kemalangan direkodkan dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu di negara ini.
Ujarnya, dalam tempoh terbabit, sebanyak 18 kes penunggang basikal cedera parah dan 63 individu menghadapi cedera ringan akibat kemalangan.
“Statistik kemalangan penunggang basikal pada tahun lalu pula merekodkan sebanyak 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah dan 59 cedera ringan,” katanya.