Polis kumpul maklumat dakwaan tahanan Rohingya di pasar borong KL, Selayang
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Polis sedang mengumpul maklumat mengenai dakwaan kehadiran kira-kira 60 orang tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang, pada April lepas berada di Pasar Selayang dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya akan mengambil tindakan yang bersesuaian seperti menjalankan sekatan jalan raya (SJR) sekiranya terdapat bukti kukuh tahanan berkenaan berada di kawasan itu.
Beliau berkata ketika ini polis dan Jabatan Imigresen sedang bermesyuarat bersama mengenai 60 tahanan Rohingya yang dipercayai masih bebas itu.
“Sekiranya ada maklumat tertentu, kami (Jabatan Imigresen) akan membuat tangkapan dan kami sememangnya telah bersedia. Ketika ini, polis sedang menunggu arahan dari Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya di Dataran Dinamik Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju, di sini hari ini.
Azmi berkata sebelum ini pihaknya telah menjalankan SJR susulan terdapat dakwaan kumpulan berkenaan pergi ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan perlindungan.
“Kita juga ada melakukan risikan namun operasi berkenaan telah dihentikan,” katanya.
Pada April lepas, dilaporkan sebanyak 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara itu dan baru-baru ini kelibat mereka didakwa dikesan di sekitar Pasar Borong Selayang dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini kes amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur di Kuala Lumpur dan Selangor oleh jurulatih wusyu di sebuah akademi di Cheras, di sini, Azmi berkata kes berkenaan telah dirujuk ke Bukit Aman.
“Kes berkenaan sudah dirujuk ke Bukit Aman dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada 23 Mei lepas, polis menahan seorang jurulatih wusyu kerana dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan.
Suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah akademi wusyu di Cheras, di sini juga pernah ditahan polis daerah Kajang atas tuduhan sama baru-baru ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.