Polis kesan waris mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Malim

Masa Membaca:57 Saat

KESIDANG 1 Ogos – Polis mengesan waris mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung dengan ikatan tali dan batu di empangan Sungai Malim, Jalan IMJ 3, Industri Malim Jaya, di sini 16 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata mayat berkenaan ditemui oleh orang awam pada jam 4.16 petang tanpa sebarang pengenalan diri.

Katanya, mayat berkenaan berumur dalam lingkungan 40 an dan mempunyai ketinggian lima kaki lima inci atau 165 sentimeter.

“Mayat mangsa mempunyai susuk tubuh sederhana manakala kulitnya cerah dan wajahnya berbentuk bulat.

“Ketika ditemui, mayat memakai t-shirt berwarna coklat dan hijau manakala seluar berwarna kelabu tertera tulisan Fila,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata mayat mangsa masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

“Ahli keluarga, waris atau orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga seperti gambaran diberikan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Shukor Mohamad di talian 017-212 6716.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat mangsa juga boleh disalurkan melalui talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di talian 06-284 1999,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5344
Kongsi :
Previous post 3 ‘pit stop’ tarikan Eco-Cruise Sungai Linggi
Next post Produk usahawan kecil antara tarikan Festival D’Bendang Melaka 2024
Ubah saiz-+=