Polis Kesan sindiket pemerdagangan orang libatkan rakyat Malaysia di luar negara
KUALA LUMPUR, 1 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima enam laporan berkaitan sindiket pemerdagangan orang melibatkan mangsa warga tempatan yang dieksploitasi sebagai buruh paksa di beberapa negara luar sepanjang tahun 2021 hingga Mac lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata laporan itu melibatkan 26 mangsa terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita yang diperdaya dan dieksploitasi untuk bekerja di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.
Beliau berkata PDRM percaya bahawa masih terdapat mangsa yang terkandas di bawah kawalan sindiket-sindiket itu yang masih tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Sindiket memperdaya mangsa melalui iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji yang lumayan menerusi Facebook.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran ini akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp atau pesanan melalui Facebook. Selepas mangsa bersetuju dengan syarat-syarat pekerjaan termasuk gaji, waktu kerja dan lain-lain kebajikan, ejen menjanjikan akan mengurus serta menanggung segala kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya setelah mangsa tiba di negara berkenaan, semua dokumen perjalanan mangsa termasuk telefon akan dirampas dan dimusnahkan, selain pergerakan mangsa dikawal ketat dan turut dikurung.
Beliau berkata mangsa seterusnya dihantar ke destinasi tertentu seperti Preah Sihanouk, Kemboja; Mae Sot, Thailand; Vientiane, Laos; serta Kayin State, Myanmar dan dipaksa untuk melakukan pekerjaan perjudian dalam talian, pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan lain-lain penipuan.
“Mangsa juga tidak dibenarkan kembali ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran syarikat itu dan jika mereka ingin kembali ke negara asal, mangsa diminta untuk membayar ganti rugi semua kos yang dianggarkan berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap seorang,” katanya.
Beliau menjelaskan berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket itu merupakan satu rangkaian jenayah rentas sempadan dan melibatkan sindiket yang beroperasi secara teratur serta mempunyai jalinan rangkaian yang luas.
“PDRM akan berusaha bekerjasama dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol) bagi tujuan membantu mengesan serta menyelamatkan mangsa di luar negara.
“PDRM juga akan berkolaborasi dengan Kementerian Luar bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa-mangsa di luar negara itu,” katanya.
Abd Jalil berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti ejen bertanggungjawab membuat tawaran kerja dan transporter terlibat yang membawa mangsa ke destinasi tertentu.
Beliau turut menasihatkan masyarakat berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji lumayan di luar negara melalui sebarang kaedah untuk mengelakkan orang ramai dieksploitasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat tentang perkara ini untuk menyalurkannya di balai polis berdekatan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.