POLIS KENAL PASTI PEMANDU LORI LANGGAR MATI HARIMAU BELANG – NIK NAZMI
Beliau berkata bagaimanapun, mengenai kecurian sebahagian anggota badan itu dipercayai dilakukan oleh pihak lain.
Menurut Nik Nazmi, kecurian atau anggota badan yang hilang membabitkan empat batang taring, kuku pada kaki, kulit ekor dan sebahagian kulit di kepala harimau berkenaan.
“Pemandu yang melanggar harimau belang telahpun dikenal pasti tetapi mengenai kecurian itu, (daripada) apa yang kita dapat maklumat, mungkin (dilakukan oleh) pihak lain.
“Kita sedang mendapatkan maklumat lanjut untuk melihat siapa bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Burung Enggang Kebangsaan di sini hari ini.
Semalam, seekor harimau belang ditemukan mati dipercayai digilis lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff percaya ada anggota badan atau bahagian tertentu daripada karkas itu telah dicuri seperti kulit, tulang, taring, kuku dan misai.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.