Polis kenal pasti identiti empat anggota TUDM maut dalam kes tembakan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUCHING 13 Ogos – Polis telah mengenal pasti identiti empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, anggota yang maut terdiri daripada Koperal Udara (U) Ho Swee Boon dari Lundu; Koperal U Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Koperal U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

Beliau berkata maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.

“Ketika itu penyelia bertugas adalah Koperal Julaihi. Turut berada di situ adalah Koperal Mohd Saiful Dania, Koperal Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.

“Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Koperal U Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek telah melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff.

“Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

TUDM dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada jam 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai dan satu lembaga penyiasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Peguam didakwa pecah amanah hampir RM1.3 juta
Next post Pengamal Media Melaka terima sumbangan kit makanan MAIM
Ubah saiz-+=