Polis Johor perkemas corak tugasan sempena pembukaan sempadan Malaysia-Singapura
JOHOR BAHRU, 25 Mac – Polis Johor akan mengubah dan memperkemas corak tugasan pegawai dan anggotanya bagi memastikan kelancaran pengoperasian susulan pembukaan semula sempadan negara khususnya melibatkan sempadan darat Malaysia dan Singapura bermula 1 April ini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata aspek yang akan diberi penekanan termasuk peningkatan jumlah kenderaan yang dijangka bertambah secara mendadak berbanding keadaan semasa.
“Jika sebelum ini fokus adalah kepada memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, namun bermula 1 April ini fokus kembali kepada memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Johor,” katanya pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata operasi sekatan jalan raya di beberapa kawasan pengoperasian Operasi Benteng (Op Benteng) di negeri ini akan terus dikekalkan bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri Republik Singapura memaklumkan kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.
Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.
Mengenai video tular insiden kumpulan konvoi kereta mewah yang menghalang laluan di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar Sedenak dekat Kulai, 18 Mac lepas, Kamarul Zaman berkata polis telah mengambil keterangan 11 individu termasuk pemandu kereta pacuan empat roda Ford Ranger yang merupakan seorang ahli perniagaan wanita berusia 28 tahun.
Beliau berkata siasatan kes berkenaan hampir selesai dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Buat masa ini siasatan dijalankan melibatkan tiga elemen iaitu kerana merusuh, menghalang lalu lintas dan pemandu pacuan empat roda berkenaan ada buat laporan polis mengatakan dia dipukul dan ditumbuk, itu pun kita siasat,” katanya.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 45 saat menerusi media sosial menunjukkan kumpulan kereta mewah telah bertindak memberhentikan kenderaan mereka, dipercayai selepas berlaku pelanggaran di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka di lokasi kejadian.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.