Polis buka kertas siasatan pergaduhan di restoren di Bahau

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SEREMBAN, 6 Mei – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan yang tular di laman sosial Twitter akibat rasa tidak puas hati seorang wanita terhadap harga makanan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian kira-kira 1 pagi itu berlaku selepas juruwang restoran itu didakwa meninggikan suara kepada wanita terbabit yang mempertikaikan harga makanan sehingga menyebabkan anak lelakinya berasa berang dan membaling kotak tisu ke arah juruwang.

“Seorang pekerja yang melihat kejadian berkenaan terus menumbuk lelaki itu sebelum dileraikan pekerja lain dan pelanggan berada di situ. Restoran mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia tidak berfungsi.

“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hoo turut menafikan dakwaan ada campur tangan polis dalam menyelesaikan kes ini (setel tepi) dan mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Beliau meminta pelanggan dan orang awam yang berada dalam restoran tersebut tampil untuk membantu siasatan selain turut menasihat orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi di laman sosial yang boleh menganggu siasatan dan ketenteraman awam.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 41 saat di Twitter memaparkan insiden pergaduhan di restoran terbabit.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

763
Kongsi :
Previous post Banjir Pontian: 51 masih di PPS, sebuah PPS ditutup
Next post MaTiC lokasi debat perdana Anwar dan Najib
Ubah saiz-+=