Polis buka 23 kertas siasatan kes langgar SOP PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 10 Nov – Polis Melaka membuka 23 kertas siasatan berkaitan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak 25 Oktober lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, bagi tempoh 16 hari itu, lebih RM80,000 nilai kompaun direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan yang dipercayai boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, tindakan itu diambil mengikut Akta 342 (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dengan adil tanpa mengira fahaman parti.

“Pihak polis akan mengambil tindakan seadilnya dan proses siasatan akan dipercepatkan kerana lagi cepat proses siasatan itu dibuat, keadilan dapat ditegak daripada kita melewat-lewat proses siasatan .

“Tetapi dalam kita mengambil tindakan ke atas siasatan seperti mana saya sebutkan tadi beberapa peringkat akan diambil pihak polis.

“Ada kes-kes tertentu kita terpaksa buka kertas siasatan untuk mendapatkan nasihat dan keputusan dari pejabat peguam negara dan terdapat juga kes-kes boleh kompaun di tempat kejadian drkitsnys kesalahan itu jelas berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Penyelarasan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pemberian permit kepada calon-calon parti atau wakil dalam tempoh berkempen PRN 2021, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd Nasrul Menhat dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Fazir Yusoff.

Mengulas lanjut, ujarnya, kesemua parti politik diharap memandang serius terhadap SOP yang ditetapkan dan tidak memberikan alasan dengan mendakwa kekurangan pengetahuan menjadi punca mereka ditahan pihak berkuasa kelak.

“Pihak SPR, MKN dan Kesihatan telah mengeluarkan SOP Pilihan Raya jadi, tidak ada alasan tidak tahu, tidak peka dan sebagainya kepada mereka yang langgar SOP sepanjang kempen PRN Melaka ini,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

514
Kongsi :
Previous post Manifesto BN: Perkasakan golongan OKU
Next post Majukan pendidikan kemahiran dan sukan di DUN Ayer Limau
Ubah saiz-+=