Sorting by

×

Polis buka 12 kertas siasatan VIP didakwa langgar SOP

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

NILAI 31 Mac – Polis membuka 12 kertas siasatan berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan golongan kenamaan atau VIP setakat ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, tiga kes masih dalam siasatan manakala dua dikategori sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atas alasan melakukan tugas rasmi selain mengikut SOP ditetapkan.

“Selebihnya telah dikompaun dan (mereka yang terlibat) telah membayarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di sini hari ini.

Huzir berkata antara dakwaan pelanggaran SOP melibatkan program berbasikal yang dirasmikan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, rentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan dan lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) ke kem tentera di Sendayan.

Turut disiasat kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa tidak mengimbas kod MySejahtera dan merekodkan suhu badan di sebuah restoran pada 19 Mac lalu dan kertas siasatan masih berada dengan Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang JSJ Bukit Aman.

Huzir berkata bagi program berbasikal dirasmikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa melanggar SOP, Ketua Polis Daerah Brickfields mengesahkan aktiviti itu dianjurkan mengikut kebenaran dan mematuhi SOP.

“Berhubung kes lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke sebuah kem tentera di Sendayan, kami akan merakam (percakapan) penganjur majlis itu… itu adalah lawatan rasmi tapi kerana sudah ada laporan, kami akan rakam (percakapan),” katanya.

Bagi kes beberapa VIP merentas negeri dari Lembah Klang untuk menghadiri majlis perkahwinan pada 14 Mac lalu, beliau berkata polis merakam percakapan pengurusan hotel yang menjadi lokasi majlis itu semalam, selain akan turut merakam kenyataan pihak lain dalam waktu terdekat.

Huzir juga berkata kadar jenayah indeks di negara ini tahun lepas menunjukkan penurunan sebanyak 24 peratus iaitu 65,623 kes berbanding 83,475 kes pada 2019 dan antara faktor penurunannya ialah pelaksanaan PKP.

“Semasa PKP, pergerakan terhad selain kehadiran ramai anggota penguat kuasa termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di merata-rata tempat serta operasi tidak henti-henti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1349
Kongsi :
Previous post Individu kena kompaun RM10,000 belum kemuka rayuan
Next post 10 bazar Ramadan, 3 bazar Aidilfitri di Hang Tuah Jaya
Ubah saiz-+=