Sorting by

×

Polis bongkar pengedaran dadah guna kurier, rampas heroin bernilai RM108,000

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Taktik aktiviti pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar selepas polis menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan negeri ini bermula Khamis lalu.

Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas dadah jenis heroin dan syabu keseluruhannya bernilai RM108,000.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, bertindak atas maklumat pihaknya menyerbu sebuah rumah di Durian Daun, Masjid Tanah pada jam 3 petang Khamis lalu sebelum menahan lelaki berusia 46 tahun dan bekerja sebagai buruh.

ABDUL MAJID (dua dari kanan) menunjukkan kotak kurier bagi menghantar dadah ke Melaka.

Katanya, dalam serbuan itu polis menemukan 16 peket lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 7.25 kilogram bernilai RM80,000 dan syabu seberat 280 gram bernilai RM28,000.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Pandan Indah, Kuala Lumpur dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di kedai gunting rambut keesokkan harinya jam 9.30.

“Hasil maklumat risikan mendapati, modus operasi aktiviti pengedaran itu telah berubah akibat pandemik COVID-19 berikutan pergerakan terbatas.

“Berikutan itu, aktiviti pengedaran berkenaan menggunakan khidmat kurier bagi memudahkan urusan penghantaran dadah di sekitar negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

DADAH dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan dilakukan pihak polis.Beliau berkata, dadah dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh 24,166 penagih.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 46 tahun positif dadah jenis opiate dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Jelasnya, manakala seorang lagi suspek negatif dadah dan mempunyai enam rekod lampau membabitkan jenayah sama.

“Polis turut menyita dua buah kereta wang tunai dan barangan kemas yang keseluruhannya bernilai RM84,650.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1208
Kongsi :
Previous post Lebih 14.3 juta dos vaksin diberikan setakat semalam – Dr Adham
Next post Hospital Alor Gajah tutup sementara kemasukan pesakit baharu
Ubah saiz-+=