Polis beri tiga hari kelonggaran susulan 11 sektor ekonomi dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Polis Melaka memberi kelonggaran tiga hari sebelum mengeluarkan kompaun kepada peniaga berhubung kekeliruan pembukaan 11 sektor ekonomi yang diumumkan semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, keputusan itu diambil susulan orang ramai khususnya peniaga masih keliru mengenai pengumuman itu.

Katanya, pada masa sama pihaknya mengambil inisiatif untuk memberikan penerangan ketika operasi pemantauan COVID-19 dijalankan di sekitar negeri ini.

“Mungkin ramai yang masih keliru dengan pembukaan 11 sektor bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana Melaka belum capai 50 peratus kadar vaksinasi, jadi kita akan tingkatkan pemantauan.

“Kita tidak akan mengeluarkan kompaun secara terus sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), sebaliknya menasihatkan orang ramai mengenai kekeliruan itu bermula hari ini hingga Rabu.

“Malah, kita sentiasa berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai SOP dari semasa ke semasa sebelum mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara atas talian yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Semalam, Melaka Hari Ini melaporkan Melaka masih belum dibenarkan membuka 11 sektor ekonomi mulai hari ini berikutan kadar vaksinasi lengkap di negeri ini baru mencapai 39.1 peratus.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat dilaporkan berkata, kemudahan kepada 11 sektor ekonomi itu hanya dibenarkan kepada negeri-negeri yang lengkap kedua-dua dos kadar vaksinasi mencapai 50 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post Muhyiddin akan jalankan tanggungjawab sebagai PM sementara, bantu negara
Next post Kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 di Melaka menurun
Ubah saiz-+=