Polis ambil keterangan lapan individu kes penemuan Al-Quran dalam longkang
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Polis selesai mengambil keterangan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskah al-Quran dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang di sini, Sabtu lepas (18 Feb).
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata lapan individu itu termasuk mereka yang ada dalam video tular berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata polis akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengenal pasti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, surau dan masjid berhampiran.
“Al-Quran itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis bagi siasatan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan KL Cops Night Ride sempena sambutan Hari Polis ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata seorang wanita tempatan yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan membuat laporan polis dengan memaklumkan beliau menemukan beberapa naskah kitab suci itu di dalam longkang.
Beh berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki yang ditahan selepas videonya tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan tangannya bergari dan memegang senjata api di dalam sebuah kenderaan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Azmi berkata lelaki berusia 46 tahun itu dibebaskan selepas tempoh remannya tamat hari ini namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik gari dan pistol tersebut.
“Hasil siasatan mendapati lelaki itu mengaku kejadian tersebut berlaku pada 2016 dan siasatan diteruskan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.