Sorting by

×

Polis akan panggil Awie, penganjur isu video tular langgar SOP di majlis misi kemanusiaan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Penganjur program misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah dan penyanyi lagenda rock terkenal, Datuk Awie yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan dipanggil merakam keterangan dalam masa terdekat.

Ia susulan klip video berdurasi 42 saat memaparkan Awie atau sebenarnya Ahmad Azhar Othman membuat persembahan dalam program itu pada 30 April lalu bersama peminat tanpa memakai pelitup muka, tular dalam media sosial sejak semalam.

 

POLIS akan panggil Awie dalam masa terdekat susulan video tular persembahannya bersama peminat di suatu majlis tanpa mematuhi SOP.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima laporan polis pada jam 12.43 tengah hari tadi mengenai dakwaan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh selebriti berkenaan dan beberapa individu lain dalam majlis itu.

Katanya, berikutan itu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan).

“Kesemua yang terlibat dalam kes ini termasuk penganjur program akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera sebelum dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN peminat yang bersesak ketika mengikuti persembahan Awie.

Mohd Sukri berkata, pihak polis memohon agar mana-mana individu yang terlibat dalam program misi kemanusian berkenaan serta mempunyai maklumat berkaitan tampil untuk membantu siasatan.

“Polis Melaka menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP PKPP ditetapkan.

“Kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang telah dikuatkuasakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

832
Kongsi :
Previous post Nelayan ditemui lemas selepas bot dipanah petir
Next post 14 rangkaian AEON disanitasi
Ubah saiz-+=