POLIGAMI TANPA KEBENARAN MENINGKAT DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Oktober – Poligami tanpa kebenaran mahkamah di Melaka merekodkan peningkatan apabila sebanyak 28 kes direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, poligami tanpa kebenaran mahkamah termaktub di bawah Seksyen 124 dan ia menjadi antara tiga kesalahan syariah yang merekodkan peningkatan kes.

Selain itu, katanya, turut menunjukkan peningkatan adalah kesalahan di bawah Seksyen 35 kerana tidak hadir di depan pendaftar dalam masa ditetapkan dan Seksyen 40 iaitu kesalahan berhubung kad nikah pernikahan.

“Untuk kesalahan di bawah Seksyen 124 ini (poligami tanpa kebenaran mahkamah) terdapat peningkatan 13 kes berbanding tahun lalu yang hanya merekodkan 15 kes sahaja.

“Hal ini terjadi apabila poligami tidak dilakukan mengikut proses yang betul. Untuk lelaki berkahwin lebih daripada satu adalah diputuskan oleh mahkamah dari segi kemampuan sama ada kemampuan fizikal ataupun ekonomi.

“Malah dalam Islam, poligami memang dibenarkan tetapi perlu dilakukan mengikut prosedur dan proses yang betul selain hanya mahkamah sahaja yang boleh sahkan sesuatu pernikahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Penutup Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H dan Ceramah Kekeluargaan Peringkat Negeri Melaka anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka, di Auditorium Al-Azim, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Azzeman Omar dan Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka Atras Mohamad Zain.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berharap lelaki yang berkemampuan dan berhasrat untuk berpoligami supaya menggunakan saluran yang betul ini bagi mengelak berlakunya kesulitan di masa hadapan, terutamanya apabila dikurniakan zuriat.

“Apabila tidak melalui proses yang betul dan tidak mendapat kebenaran akan berlakulah beberapa isu seperti zuriat tidak sah taraf, anak tidak boleh menggunakan bin atau binti nama bapa dan ini akan memberi implikasi kepada anàk itu sendiri.

“Contohnya, baru-baru ini kita berdepan dengan kes apabila seorang pelajar cemerlang tidak dapat diangkat atau menerima anugerah kerana status dirinya yang tidak sah taraf,” katanya.

Tambahnya lagi, akibat poligami yang tidak mengakut saluran betul juga, ia menjadi antara penyumbang berlakunya kes penceraian membabitkan pasangan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

139
Kongsi :
Previous post LEBIH 422,000 LAWAT MUZIUM DI MELAKA
Next post BAJET 2025 : UTAMAKAN BANTUAN SARA HIDUP RAKYAT
Ubah saiz-+=