Pokok tumbang imbau zaman kanak-kanak -Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Pokok Ikonik berusia 127 tahun yang banyak menyimpan pelbagai kenangan lama buat anak jati Melaka tumbang dalam kejadian awal pagi semalam.

Bagi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali, pokok yang hidup lebih setengah abad itu menyimpan nilai sentimental buat anak tempatan termasuk dirinya yang pernah berteduh di bawahnya sewaktu kecil.

Jelasnya, peristiwa ‘kehilangan’ pokok itu tiba-tiba menjadi topik hangat ketika Mesyuarat EXCO, hari ini.

“Kami (EXCO) berkongsi kenangan apabila berlindung di bawah pokok itu ketika kanak-kanak. Ada yang mengimbau kembali tatkala bermain di bawah pokok ikonik itu yang mana ketika itu Melaka belum lagi terkenal sebagai negeri pelancongan tersohor.

“Memang kami bersedih apabila diberitahu pokok sudah tiada,” katanya kepada pemberita.

Sulaiman berkata, pokok tersebut banyak mengimbau zaman kanak-kanaknya kerana di situlah lokasi dia bermain ketika mengunjungi abangnya yang bekerja di Bastion House, ketika itu.

“Di bawah pokok itulah tempat kanak-kanak dari kampung bermain, malah ia merupakan lokasi masyarakat berkumpul bagi mengadakan program kemasyarakatan,” katanya.

Pokok ikonik yang terletak di hadapan Bangunan Stadthuys di Banda Hilir itu ditanam pada 1894 semasa era penjajahan Inggeris.

“Dalam mesyuarat tadi kami memutuskan perlunya untuk memelihara pokok-pokok tua malah pelbagai pendekatan akan diambil bagi memperkasa dasar yang telah dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu.

“Ia termasuk kebenaran mesti diperoleh sebelum memangkas pokok tua seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kehilangan pokok itu merencatkan usaha kolektif kerajaan negeri bagi menyelamatkan pokok tinggalan zaman pra kemerdekaan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

933
Kongsi :
Previous post Had gaji maksimum bagi elaun pekerja cacat naik kepada RM1,500
Next post MUFC kekalkan rekod tanpa kalah
Ubah saiz-+=