Sorting by

×

Pokok rhu tumbang, ibu dan bayi cedera

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 12 November – Perkelahan di Pantai Puteri, di sini, menjadi igauan ngeri buat sebuah keluarga apabila sebatang pokok rhu tumbang dan mengenai dua daripada mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan dan ibunya cedera apabila dihempap ranting pokok rhu yang tumbang menghala ke laut sebelum dikejarkan ke hospital.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi, beliau menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan perkara itu kira-kira jam 6.45 petang.

Ketika itu, beliau bersama calon Barisan Nasional (BN) Tangga Batu Datuk Lim Ban Hong sedang menghadiri sebuah program di kawasan berhampiran, sebelum segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya dimaklumkan ibu dan bayi berada berhampiran pantai dan sedang menyaksikan suami bersama anak-anaknya mandi laut sebelum pokok itu tiba-tiba tumbang dan menghempap mereka.

“Akibatnya ibu dan bayi itu tersembam ke pasir dan menyebabkan bayi berkenaan mengalami masalah sesak nafas.

“Orang ramai yang berada di situ segera membantu dan saya turut menghubungi balai polis serta ambulans untuk membawa mangsa ke hospital dengan segera,” katanya ketika ditemui di lokasi, malam ini.

IMG-20221112-WA0057
TUMINAH dan Ban Hong mengiringi bayi dan ibunya menaiki ambulans ke hospital.

Menurut Tuminah, kejadian pokok tumbang itu bukanlah yang pertama kali berlaku, sebaliknya sudah kerap terjadi berikutan usia pokok berkenaan yang sudah melebihi 20 tahun, selain hakisan pantai yang berlaku.

Katanya, walaupun kerja-kerja cantasan kerap dilakukan secara berkala oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, namun faktor akar pokok rhu yang tidak bersifat seperti akar tunjang menyebabkannya tidak kukuh seperti pokok lain.

Disebabkan itu, beliau meminta MBMB agar menebang sebahagian pokok yang sudah tua dan tidak lagi kukuh untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

IMG_20221112_195504
STRUKTUR pokok rhu yang tumbang.

“Pada masa sama, kita juga bercadang untuk menutup sementara pantai bagi aktiviti perkhemahan memandangkan musim hujan pada ketika ini boleh membahayakan pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6156
Kongsi :
Previous post Sembilan masjid baharu dibina di Melaka sejak 2020
Next post Laptop percuma bukan ‘janji kayangan’, tapi mampu direalisasikan
Ubah saiz-+=