‘Poghut’ kukuh ikatan keluarga Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER LIMAU 30 Jun – Ikatan ‘poghut’ Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Limau akan terus diperkukuh bagi melahirkan masyarakat yang hidup bersatu padu umpama sebuah keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, istilah ‘poghut’ atau ‘Perut’ yang digunakan dalam Adat Perpatih diyakini akan membantu penyatuan masyarakat memandangkan kawasan itu merupakan yang terbesar di Melaka mewarisi adat berkenaan.

Justeru, beliau bertekad untuk melaksanakan pelbagai program dan acara yang membawa mesej sebenar penyatuan keluarga di Ayer Limau.

“Poghut akan terus dijadikan sebagai satu ‘trademark’ di DUN Ayer Limau di mana ia melambangkan sebagai satu kehidupan masyarakat yang berkeluarga yang sentiasa mengamalkan amalan tolong-menolong tanpa mengira fahaman politik dan tidak mempunyai persaingan.

“Saya akan jadikan DUN Ayer Limau ini umpama tidak dibelah-belah mengikut masyarkat dan kampung kerana saya anggap satu DUN ini adalah keluarga, jadi sebab itu perlu diperbanyakkan program bertemakan ‘poghut’ kerana kita mahu semua masyarakat di sini menjadi satu keluarga.

“Malah, hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mahu memartabatkan Adat Perpatih di Melaka ini akan membawa impak secara terus kepada Ayer Limau kerana DUN inilah yang satu-satunya mempunyai 17 cawangan mengamalkan sistem Adat Perpatih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Korban Perdana DUN Ayer Limau 2023 di Kompleks Japerun Ayer Limau, di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 18 ekor lembu korban telah ditumbangkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di DUN berkenaan.

WhatsApp Image 2023-06-30 at 19.25.28
KAUM wanita turut membantu bersama menyiapkan daging korban sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, program gotong-royong itu dibantu 18 cawangan kampung, yang mana ia bukan sahaja menyatukan masyarakat, bahkan turut membantu golongan yang memerlukan.

“Alhamdulillah program ini menerima kerjasama dari semua penduduk kampung yang hadir bergotong-royong mengagihkan daging korban kepada golongan yang memerlukan.

“Malah kita juga menjemput 128 asnaf di DUN ini untuk diraikan dan dibantu dengan sumbangan kit makanan serta agihan daging korban.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama terutama dalam kalangan penyumbang yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NG0) dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang terlibat dalam program ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1558
Kongsi :
Previous post Sukan wushu kembali meriah selepas empat tahun
Next post Angkat e-sukan dalam kokurikulum sekolah
Ubah saiz-+=