‘POCKET EVENT’ MENARA TAMING SARI GAMIT LEBIH 1,000 PENGUNJUNG
BANDAR HILIR 28 Disember – Program ‘Pocket Event 2024’ anjuran Menara Taming Sari berjaya menarik perhatian lebih 1,000 pengunjung.
Beberapa jenis persembahan telah ditampilkan pada program tersebut iaitu tarian kebudayaan oleh Institut Warisan Melaka (INSWA), pancaragam Akademi Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), seni silat (Persatuan Lingkaran Karet Padang Temu), karate (Persatuan Karate Negeri Melaka) dan wushu (Persatuan Wushu, Tarian Naga dan Singa Negeri Melaka).
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nasrul Ahmad berkata penganjuran program tersebut merupakan antara pengisian pihaknya untuk merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sebelum memasuki tahun baharu 2025.
“Program ini adalah antara pengisian pihak kami (MTSB) bagi merancakkan lagi kempen TMM2024, ditambah pula Tahun Melawat Melaka akan dilanjutkan hingga 2026, jadi ini akan menjadi antara penanda aras untuk kami bagi menjayakan program yang lebih baik pada masa akan datang.
“Kami menampilkan beberapa persembahan seperti karate, seni silat, wushu, tarian kebudayaan serta pancaragam dan alhamdulillah telah berjaya tarik lebih 1,000 pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas program tersebut yang diadakan di perkarangan Menara Taming Sari, semalam.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman turut hadir menyaksikan persembahan tersebut dan menyampaikan cenderamata penghargaan kepada setiap kumpulan yang membuat persembahan pada program itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.