![Whatsapp Image 2021 10 20 At 4.36.06 Pm](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2021/10/WhatsApp-Image-2021-10-20-at-4.36.06-PM.jpeg?v=1635324545)
PN mahu perkasa infrastruktur negeri Melaka
SHAH ALAM 14 Nov – Perikatan Nasional (PN) akan memperkukuhkan penyediaan infrastruktur yang cekap di negeri Melaka sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk menaik taraf pembinaan jalan raya, saliran dan tebatan banjir.
Katanya, rakyat Melaka mengeluh berikutan berdepan dengan masalah banjir selain mendapatkan bekalan air bersih dan kesesakan trafik serta masalah akses internet yang berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian.
“Menyelami keperitan dilalui rakyat negeri Melaka, PN berikrar akan memperkukuh penyediaan infrastruktur yang cekap, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta naik taraf sistem saliran dan tebatan banjir.
“Pelan induk penyuraian trafik juga akan disediakan bagi melancarkan lalu lintas, terutama di kawasan tumpuan pelancong.
“Sejajar dengan keperluan akses Internet sepanjang masa, perluasan liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di tempat terpilih seperti pusat pelancongan, perniagaan dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka, di sini hari ini.