PN bersedia hadapi PRN Johor – Muhyiddin
KUALA LUMPUR, 24 Jan – Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Bersatu Johor berkata walaupun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini, keputusan pembubaran DUN itu dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.
Justeru, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, menurutnya PN akan mengadakan rundingan dengan parti anggotanya bagi memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.
“Sekiranya diberikan mandat, PN akan membentuk sebuah kerajaan berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Johor,” katanya.
Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara turut menyeru pengundi yang layak untuk keluar mengundi kelak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), selain berharap ia akan ditetapkan dengan seimbang dari segi bagi mencegah COVID-19 dan ruang berkempen secara bebas, adil dan selamat.
“Saya juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor. Tunaikanlah hak dan tanggungjawab secara bijaksana,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.