PN akan kembali bangkit pada PRU-15 -Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR 11 Sept – Perikatan Nasional (PN) akan membuat kemunculan semula  pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubungan itu mengingatkan ahli-ahlinya untuk membuat persiapan menguatkan panji-panji dalam menumpukan usaha memperkuatkan parti di peringkat akar umbi sebelum kembali mendapat mandat rakyat.

“Pada masa itu (PRU-15), Perikatan Nasional dan saya sebagai pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya. Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback.

“Sehingga saat itu, sebagai ahli parti mestilah melakukan segala persiapan, tumpukan usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi. Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan iri hati.

“Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun kelima Bersatu secara maya pada malam tadi.

Pada masa sama, bekas perdana menteri itu yang juga Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) mahu kerjasama dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan diperkukuhkan.

“Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Kita juga mesti teruskan kerja-kerja amal kita, rakyat nak berasakan jasa kita kepada mereka, apa bantuan yang kita boleh sampaikan, ziarah mereka tanya khabar mereka, itulah yang terbaik untuk kita lakukan,” katanya.

Tambahnya, ahi BERSATU juga perlu membuktikan politik mereka adalah berbeza kerana menawarkan budaya politik khidmat, prihatin dan politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki, bukan politik perkauman yang melampau, bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post 17 sekawan dikompaun RM51,000 sakan ‘private party’
Next post Zaman Khan meninggal dunia
Ubah saiz-+=