Sorting by

×

PMM gotong-royong indahkan Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PENGKALAN RAMA 17 Dis – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengambil inisiatif bergotong-royong bagi membersihkan Sungai Melaka sekali gus memberi kesedaran sivik kepada masyarakat di negeri ini.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Gotong Royong ‘Cintailah Sungai Kita @ Sungai Melaka’ bersama Centre of Technology (COT), Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) PMM serta Kelab Hospitio JPH.

Pengurus COT PMM, Surina Nordin berkata program itu bertujuan memberi kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya sungai-sungai di Melaka.

“Sungai Melaka menjadi daya tarikan pelancongan di negeri ini dan program berkenaan menyumbang kepada kesedaran sivik para pelajar PMM dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

“Tidak hanya memberi pendedahan yang luas terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, malah mampu mengubah imej sungai kita supaya menjadi lebih cantik.

“Jika kita sukar untuk mengubah dunia, ubahlah diri kita sendiri untuk lebih menghargai sungai kerana ia berpotensi sebagai pusat pelancongan dan salah satu sumber ekonomi negeri Melaka,” katanya.

PELAJAR dan pensyarah PMM mengutip sampah sarap di Sungai Melaka.

Sementara itu pensyarah JPH PMM Hanis Aliaa Ramley, berkata peluang untuk turut serta dalam program kemasyarakatan itu amat bernilai harganya.

“Alhamdulillah, peluang begini memberi manfaat bukan sahaja dari segi kepentingan menjaga sungai, malah menyuntik semangat cinta akan alam sekitar.

“Bila melihat sendiri sampah sarap menjadi pencemaran yang mencacatkan pemandangan Sungai Melaka, rasa tanggungjawab dan peranan untuk memelihara alam sekitar semakin tinggi,”katanya.

Antara aktiviti diadakan termasuk mengutip sampah daripada botol plastik, ranting kayu, plastik makanan dan pelbagai lagi.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM) serta Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MOTAC) melibatkan seramai sembilan pensyarah dan 19 pelajar PMM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1781
Kongsi :
Previous post Buat hantaran jelik di Facebook, ‘Apit Wan Lebo’ dihadap ke mahkamah
Next post Rakyat sokong pengambilan dos penggalak demi keselamatan diri
Ubah saiz-+=