PM zahir rasa bangga dengan kecekalan Mohamad Zain dan Siti Zubaidah
KUALA LUMPUR 28 Jun — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menzahirkan rasa bangga dengan semangat dan kecekalan pasangan suami isteri, Mohamad Zain Solihin dan Siti Zubaidah Muhammad yang tabah mengharungi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masih berupaya meneruskan perniagaan serta mengekalkan pekerja mereka.
Beliau berkata, melalui lawatannya ke syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) milik pasangan berkenaan di Bukit Gambir, Muar iaitu De Muara Enterprise, beliau turut dapat menyaksikan bagaimana perniagaan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan
“Saya sendiri perlu menjalani saringan gejala seperti mengambil suhu badan dan memakai apron pakai buang sebelum memasuki premis perniagaan mereka. Inilah normal baharu kehidupan yang mesti kita biasakan dan sesuaikan dalam aktiviti harian kita semua,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir turut mendoakan agar perniagaan De Muara Enterprise dan syarikat-syarikat IKS lain terus maju dan semoga kesemua pihak bekerjasama mengawal penularan wabak COVID-19.
Pada awal pagi hari ini, Muhyiddin, yang meluangkan masa kira-kira 30 minit pada lawatan itu, mendengar penerangan mengenai operasi syarikat De Muara Enterpirse yang menghasilkan pes masakan seperti asam pedas dan mee bandung.
Ini kali pertama Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, pulang ke kawasannya sejak PKP dan kelonggaran merentas negeri diberikan.
Beliau juga menghadiri beberapa majlis lain antaranya Majlis Bertemu Pemimpin bersama pemimpin masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, meninjau Masjid Haji Muhammad Yassin, Pagoh dan perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh.