Sorting by

×

PM umum RM10 juta untuk program belia

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 25 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk program pembangunan belia di negara ini.

Perkara itu diumumkan beliau pada Sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan di Banda Hilir, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sebelum ini kerajaan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan RM2 juta untuk program Rakan Muda di bawah di bawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).

Melihat kepentingan agenda pembangunan belia, beliau menambah RM3 juta lagi bagi menambah program-program khusus untuk anak muda.

“Tahun lalu MBM memohon peruntukan RM5 juta dan kita luluskan dan program Rakan Muda juga menjadi keutamaan dan ditambah (peruntukan) oleh KBS kerana saya mahu program belia diberi keutamaan dan dukungan.

“Jadi, saya setuju menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh supaya dilengkapkan kepada RM10 juta (peruntukan belia) pada tahun ini.

“Syaratnya, kita perlu ada tanggungjawab bahawa anak muda bukan lagi dikenali sebagai suara, tetapi idealisme dan cita-cita untuk benci rasuah, menolak perkauman sempit dan mengangkat akidah yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Turut bersama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dan belia-belia seluruh negara.

Sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 15,000 belia dan orang ramai.

Untuk rekod, sambutan belia tahun ini mengangkat tema Yakin Boleh bagi menerapkan prinsip kecergasan dalam pemikiran dan daya juang yang tinggi dalam kalangan belia untuk menempuh kehidupan pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

140
Kongsi :
Previous post Produk inovasi bantu komunikasi atas bot
Next post HBN2024: Lebih 15,000 belia berhimpun di Dataran Pahlawan
Ubah saiz-+=