
PM ucap tahniah kepada pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah kepada guru Kolej Vokasional Keningau Sabah Khalifa Affnan yang dipilih sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.
Menerusi catatan di Facebook beliau, Ismail Sabri berkata seluruh Keluarga Malaysia berbangga dengan kejayaan guru berkenaan yang mengharumkan nama Malaysia dalam bidang perguruan di peringkat antarabangsa.
“Saya difahamkan Cikgu Khalifa adalah guru pertama di rantau ini yang dinobatkan anugerah ini. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada Cikgu Khalifa. Selamat maju jaya dan teruskan kecemerlangan anda di mana sahaja anda berada,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, pencapaian Khalifa dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu dijadikan penyuntik semangat Keluarga Malaysia untuk berusaha keras menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.
Khalifa melakar sejarah negara setelah muncul guru Malaysia pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan dan juga terdahulu di peringkat serantau, atas pencapaiannya dalam mencetuskan satu projek STEM.
Beliau dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan 7,000 peserta lain dari 113 negara.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.