PM ucap Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua yang wartawan, pengamal media
MELAKA, 29 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 kepada semua wartawan dan pengamal media di negara ini.
Beliau dijadual merasmikan majlis sambutan HAWANA 2022 yang bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’, itu petang ini.
“Jumpa petang ini di Melaka!” katanya dalam hantaran di Twitter hari ini.
Majlis perasmian HAWANA 2022 oleh Perdana Menteri itu akan disiarkan secara langsung oleh Bernama TV (Astro 502), RTM dan Astro Awani mulai 2.30 petang.
Selepas dua tahun tidak diadakan kerana penularan COVID-19, HAWANA 2022 disambut di Melaka yang bakal menyaksikan Deklarasi Melaka 2022 dibacakan.
Deklarasi itu mengandungi pandangan dan hasrat wartawan serta aspirasi mereka dalam melaksanakan tugasan serta peranan bersama-sama dalam membangun negara.
Selain itu acara kemuncak adalah penyampaian Anugerah HAWANA 2022 kepada wartawan profesional/individu/organisasi yang memberi sumbangan besar, bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya dihasilkan.
Perhimpunan terbesar bagi memperingati dan menghargai profesion kewartawanan di Malaysia yang merupakan wira tidak didendang itu turut dihadiri wakil wartawan dari Indonesia dan Vietnam.
Tarikh 29 Mei ditetapkan sebagai sambutan Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.