PM seru kibar Jalur Gemilang tanda solidariti melawan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat Malaysia menterjemahkan solidariti dalam melawan pandemik COVID-19 dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Dalam ucapannya semasa melancarkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 hari ini, katanya beliau berharap orang ramai menyahut seruan itu dengan penuh rasa bangga, tertib serta rasa hormat, dan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman mahupun kenderaan masing-masing.

“Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia, yang mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.

“Marilah kita bersama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih dari wabak COVID-19, dan kita dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama,” katanya.

Majlis pelancaran yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini, turut dihadiri Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.

Terengganu merupakan tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini, namun disebabkan negara kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19, tiada acara sambutan secara fizikal diadakan.

Muhyiddin berkata tema sambutan tahun ini kekal seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin, seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menyemai rasa cinta kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat ketika negara masih memerangi pandemik COVID-19.

“Saya yakin bahawa saudara dan saudari mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi, dan dapat mengambil iktibar serta aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini, yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, rakyat negara ini akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang.

Perdana Menteri berkata semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang dalam menuntut kemerdekaan negara perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada rakyat negara ini yang sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya seperti COVID-19.

“Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

556
Kongsi :
Previous post Olimpik 2020: Strategi jadi penentu ’emas’ keirin
Next post Dua dos vaksin: Melaka capai nilai ambang 40 peratus menjelang Hari Kebangsaan – KM
Ubah saiz-+=