PM rasmi majlis penutup Jelajah AKM Perak

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

PASIR SALAK, 3 Julai – Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan majlis penutupannya disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketibaan Perdana Menteri di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah di sini kira-kira pukul 11.30 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dengan diiringi paluan kompang kira-kira 30 peserta Persatuan Kompang Kampung Gajah.

Antara yang turut menghadiri program ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yaziz, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai sejak Jumaat dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang dijadual berakhir pukul 6 petang hari ini.

AKM yang dicetuskan Ismail Sabri adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Dis tahun lepas.

Dalam ucapan Ismail Sabri berkata cabaran yang dihadapi hari ini termasuk perubahan senario ekonomi global, tidak mampu untuk ditangani sendirian oleh kerajaan, dan ia memerlukan pelaksanaan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu.

“Saya berharap Keluarga Malaysia untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan subsidi yang akhirnya merugikan kita semua.

“Konsep Keluarga Malaysia amat penting untuk menyatukan kita semua tanpa mengira perbezaan kepercayaan dan fahaman politik, untuk bersama-sama berganding bahu menghadapinya,” katanya.

Beliau berkata sekarang bukan masa untuk menuding jari, kerana cabaran yang dihadapi hari ini amat berbeza dan mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah, sekali gus memerlukan seluruh tenaga yang perlu digembleng bersama untuk menghadapi cabaran ini, dan seterusnya memacu semula ekonomi Malaysia.

Perdana menteri berkata Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) yang sebelum ini diadakan di Johor, Perlis, Sabah, Terengganu dan kini di Perak, mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Beliau berkata ini membuktikan program itu telah memberian manfaat kepada Keluarga Malaysia, kerana mereka berpeluang menyalur sebarang maklum balas yang boleh membantu menambah baik perkhidmatan kementerian dan agensi-agensi Kerajaan.

“Ia juga membuktikan bahawa idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata, tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata amalan hidup bersama ini telah pun berterusan sejak enam dekad lepas dan perlu dipertahankan, malah diperkukuhkan walau apa jua cabaran yang mendatang.

“Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam sebuah keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1172
Kongsi :
Previous post SAMENTA ‘suara’ PKS kepada kerajaan
Next post Lelaki maut, rakan cedera parah dalam kemalangan tiga kenderaan
Ubah saiz-+=