Sorting by

×

PM menaruh harapan tinggi pingat emas pertama Olimpik

Masa Membaca:3 Minit, 32 Saat

SEPANG 18 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menaruh harapan tinggi ke atas kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk membawa pingat emas pertama dari temasya sukan berprestij itu.

“Saya harap kali ini ialah kali yang pertama Malaysia akan membawa pingat emas pertama dan bagi mereka yang berjaya, insya-Allah ganjaran yang baik akan kita berikan kepada anda semua,” katanya ketika menyempurnakan Lambaian Juara Demi Malaysia di sini, semalam.

MUHYIDDIN ketika perlepasan kumpulan kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo, Jepun di KLIA semalam. Foto – Facebook KBS.

Perdana Menteri memberikan kata-kata motivasi kepada skuad badminton, gimnastik, akuatik (renang, terjun) dan memanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum mereka berlepas ke Tokyo untuk temasya sukan terbesar dunia bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Muhyiddin dalam ucapannya di hadapan 40 ahli kontinjen negara menaruh keyakinan tinggi bahawa kumpulan yang mewakili negara pada temasya ini adalah terbaik dan mampu menyinar di temasya itu.

“Saya menaruh keyakinan bahawa anda semua akan berjuang berhabis-habisan demi Malaysia tercinta untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia, untuk mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa, dan membuktikan anak Malaysia mampu menjadi atlet terbaik dalam sukan masing-masing.

“Yang paling utama memastikan lagu keramat Negaraku berkumandang di venue pertandingan nanti,” katanya dengan penuh semangat.

MUHYIDDIN (tengah) ketika menyempurnakan Lambaian Juara Demi Malaysia di KLIA. Foto – Facebook KBS.

Beliau juga berharap di bawah kepimpinan Datuk Lee Chong Wei selaku ketua kontinjen, negara mampu membuahkan keputusan terbaik dalam sejarah penyertaan negara di sukan Olimpik kali ini.

“Apa yang saya dapat lihat keseluruhan kontinjen kita pada temasya kali ini yang seramai 30 atlet, 21 jurulatih dan 13 pegawai ini sebenarnya bukan sekadar 30 orang atau jumlah 64 orang, ia sebenarnya mencerminkan kekuatan 32 juta orang rakyat Malaysia keseluruhan.

“Justeru kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada anda semua yang menjadi ‘The Beacon of Hopes’,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan semua anggota barisan kontinjen negara untuk sentiasa memastikan aspek keselamatan dan soal kesihatan diutamakan.

Sejurus menyampaikan amanat penuh semangat, Muhyiddin mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan kontinjen Malaysia ke temasya berpestij itu.

Turut hadir mengiringi atlet ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Chong Wei.

Seramai 40 orang, termasuk 18 atlet berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines MH9118 pada jam 10.50 malam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 8.05 pagi tadi.

Sejurus tiba di Tokyo, mereka akan menjalani ujian calitan COVID-19 dan menjalani tempoh isolasi selama tiga hari, selain perlu menjalani ujian air liur sepanjang tempoh berada di negara Matahari Terbit itu.

Malaysia pada Olimpik kali ini, akan diwakili oleh 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan, dengan matlamat utama kekal untuk merangkul pingat emas pertama Malaysia.

Kumpulan pertama atlet Malaysia, terdiri daripada empat pelayar – Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (kedua-duanya acara International 470 wanita) yang diiringi oleh tiga pegawai berlepas ke Tokyo pada 8 Julai lalu.

Penembak negara, Nur Suryani Mohamed Taib yang akan beraksi dalam acara 50m rifle tiga posisi wanita berlepas pagi semalam, manakala baki atlet dijangka berlepas pada 25 Julai ini.

Atlet lain yang layak ke Olimpik kali ini ialah Khairul Anuar Mohamad, Syaqiera Mashayikh (memanah), Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Gavin Kyle Green, Kelly Tan (golf) dan Welson Sim dan Phee Jinq En (renang).

Selain itu, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (terjun), Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik) pemain badmiton Lee Zii Jia, Soniia Cheah, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Pada edisi Rio 2016, Malaysia yang diwakili oleh 32 atlet, membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang juga merupakan pencapaian terbaik negara di Sukan Olimpik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

555
Kongsi :
Previous post Berbuat baik sesama manusia
Next post Rezeki Aidiladha, kerapu 10 kg dijual RM400
Ubah saiz-+=