PM Malaysia, Singapura bertemu di Tokyo bincang pemukiman
TOKYO, 25 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Tokyo pada Rabu, ketika kedua pemimpin berkenaan berada di ibu negara Jepun itu bagi menghadiri Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia.
Kedua pemimpin berkenaan berbincang dalam suasana santai di hotel penginapan mereka dengan antara perkara disentuh adalah mengenai sesi pemukiman pemimpin Malaysia dan Singapura.
“Kita bincang mengenai pemukiman antara Malaysia dan Singapura. Singapura akan jadi tuan rumah pada tahun ini dan antara kita bincang adalah dari segi tarikh,” kata Ismail Sabri kepada media Malaysia selepas pertemuan kira-kira setengah jam tersebut.
Menurut perdana menteri, antara tarikh yang dicadangkan untuk pemukiman itu berlangsung adalah akhir September atau awal Oktober.
“(Pemukiman) untuk kita berbincang isu-isu yang mungkin tak selesai lagi, kita akan selesaikan,” katanya.
Ismail Sabri dan Lee dijadualkan menyampaikan ucaptama pada persidangan Nikkei itu bersama-sama beberapa ketua negara yang lain pada sesi pagi Khamis.
Mengenai persiapan beliau sempena persidangan itu, Ismail Sabri berkata ucapannya akan diperincikan bagi membolehkan beliau membawa suara Malaysia pada persidangan berprestij itu.
Persidangan Nikkei yang diadakan sejak 1995 adalah perhimpunan tahunan pemimpin politik dan ekonomi serta ketua industri dari rantau Asia Pasifik.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.