PM mahu KWSP tingkat pelaburan tempatan kepada 70 peratus
SHAH ALAM, 8 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menugaskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meningkatkan pelaburan tempatan kepada 70 peratus tahun ini daripada 64 peratus pada 2022.
Beliau juga mahu institusi keselamatan sosial berkenaan melihat kembali hala tujunya supaya pelaburan yang dibuat seiring aspirasi kerajaan hari ini yang memberi fokus antaranya kepada penglibatan sektor belia, pertanian sebagai pemangkin keselamatan makanan negara bagi mengurangkan import makanan yang kini bernilai RM60 bilion di samping menambah lebih banyak penyertaan syarikat pemula.
“Kita (Malaysia) bila naik kadar produktiviti, tapi kadar upah itu masih di tangga yang jauh lebih rendah. Jadi kesenjangan akan terus melebar. Inilah cabaran-cabaran yang kita harus dapat tangani.
“Keupayaan kerajaan, kalau kita dapat terus cari pelaburan baharu, dan dapat hasil lebih baik, maka kita dapat kembalikan pulangan kepada rakyat,” katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Menara KWSP di Kwasa Damansara, Seksyen U4 di sini, pada Isnin.
Beliau berkata pelaburan dalam negara harus mengikut keperluan negara dan rakyat pada masa kini.
“Lebuh raya PLUS, Terowong Smart dan perumahan, semua itu memang dimasuki (KWSP sebagai pelabur). Itu saya akui,” katanya.
Justeru, Anwar menegaskan dan mahu keputusan panel penilai pelaburan KWSP kekal profesional dan tiada campur tangan ‘orang atasan’ supaya dapat memastikan setiap manfaat dinikmati setiap rakyat.
“Memang pelaburan itu betul, ada strategik bukan sahaja industri tetapi infrastrukturnya (memang) strategik.
“Cuma bedanya, dalam urusan saya, saya tidak campur urusan pelaburan seperti yang pernah berlaku dalam sejarah KWSP dahulu,” katanya.
Beliau juga mahu KWSP menguruskan aset pengurusan yang kini bernilai RM1 trilion berlandaskan tata kelola yang baik dan berintegriti. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.