PM Jepun Suga tidak mungkin adakan pilihan raya tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TOKYO 2 Okt – Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga mungkin tidak membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan tahun ini, sebaliknya akan lebih menumpukan kepada usaha menangani krisis COVID-19, lapor agensi berita Kyodo.

Tinjauan media yang dibuat selepas Suga mengambil alih pentadbiran pada pertengahan September, menunjukkan kabinetnya memperoleh banyak sokongan, menguatkan lagi spekulasi beliau akan dapat mandat yang kuat daripada pengundi.

Memetik pegawai kanan pentadbirannya pada Khamis, Suga merancang untuk mengotakan janjinya mengutamakan usaha membendung penularan jangkitan sambil membawa semula ekonomi ke landasan yang baik, sehubungan itu tidak mungkin bagi beliau mengadakan pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurut ahli parlimen kanan Parti Liberal Demokratik (LDP), sesi Diet (parlimen) luar biasa kemungkinan diadakan pada 26 Oktober sebaik Suga kembali dari Vietnam dan Indonesia.

Ketua Setiausaha LDP Toshihiro Nikai dan Hiroshi Moriyama, ketua hal ehwal parlimen parti itu, mengadakan pertemuan pada Khamis dilaporkan untuk membincangkan perkara berkenaan.

Persidangan parlimen akan datang dijangka memberi fokus mengenai tindak balas yang diambil dalam mencegah COVID-19 dan usaha untuk mengesahkan perjanjian perdagangan dengan Britain dapat dibuat mengikut tarikh ditetapkan supaya ia boleh dilaksanakan pada Januari.

Suga berikrar menunaikan janji yang dibuat Shinzo Abe sebelum ini iaitu menyediakan cukup vaksin untuk 126 juta penduduk menjelang separuh pertama tahun depan.

Kerajaan juga melancarkan program mempromosikan pelancongan domestik dengan memberi subsidi perbelanjaan perjalanan dan melonggarkan sekatan perjalanan dalam usaha merancakkan semula ekonomi negara ketiga terbesar dunia itu.

Ekonomi Jepun menyusut 28.1 peratus pada April sehingga Jun.

Suga menerajui pentadbiran berikutan pengunduran Abe kerana masalah kesihatan dan  tempohnya akan berakhir pada September depan. Tempoh empat tahun untuk semua anggota dewan rakyat tamat pada Oktober.

– BERNAMA

Views:

285
Kongsi :
Previous post “Berlaku kesilapan teknikal berkaitan ADUN Ayer Limau positif COVID-19” – Exco Kesihatan
Next post COVID-19: KM dan Exco selesai jalani ujian calitan, JKN digesa lakukan penambahbaikan
Ubah saiz-+=