Sorting by

×

PM Ismail Sabri pengerusikan mesyuarat ke-28 NCIA

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

KUALA NERANG, 7 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mempengerusikan mesyuarat ke-28 Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap dekat sini hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat tapak pameran peserta Program Modal Insan Bersepadu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang berjaya serta beramah mesra dengan para peserta berkenaan.

Sementara itu, NCIA dalam satu kenyataan berkata usaha mempercepatkan pertumbuhan serta pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19 di NCER terus membuahkan hasil dengan pemulihan dan ketahanan kukuh ekonomi yang dicatatkan wilayah itu pada 2021 dijangka berterusan pada tahun ini.

“Sentimen pelabur yang positif, pelaksanaan projek dan program strategik, serta insentif menarik oleh Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dijangka dapat mengekalkan momentum pertumbuhan serta pemulihan ekonomi di wilayah tersebut untuk tahun ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah usaha pemulihan pasca pandemik NCIA di NCER adalah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ia dilaksanakan melalui pendekatan serampang tiga mata iaitu Memudahcara Pelaburan Swasta, Melaksanakan Projek-projek Strategik Utama dan Program-program Modal Insan Berteraskan Rakyat seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER (2021-2025) dan Rangka Kerja Strategik Pasca COVID-19,” katanya.

Projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta ke wilayah itu antaranya ialah Bandaraya Getah Kedah atau Kedah Rubber City (KRC), Kawasan Perindustrian Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA), Perlis Inland Port, SilverValley Technology Park (SVTP) dan Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).

Dalam pada itu, NCIA menyatakan prestasi dagangan eksport NCER pada suku tahun pertama hingga suku tahun ketiga 2021 juga meningkat sebanyak 20 peratus tahun ke tahun, menyumbang 36 peratus daripada eksport negara.

“Peningkatan tersebut dipacu oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) dan peranti perubatan, serta produk minyak sawit.

“Kadar pengangguran di NCER juga kekal di bawah kadar pengangguran nasional pada 4.1 peratus setakat suku tahun ketiga 2021, manakala kadar penyertaan tenaga buruh telah meningkat secara berterusan kepada 67.8 peratus dan diunjur akan menunjukkan aliran peningkatan pada 2022,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pelaksanaan projek strategik dan pelaburan swasta di NCER adalah berkait rapat dengan program modal insan berteraskan rakyat oleh NCIA dengan hampir 68,000 rakyat dari 30 daerah di NCER yang terdiri daripada kumpulan sasar B40, wanita dan Orang Asli mendapat manfaat daripada program itu sejak 2019.

“Melalui bimbingan NCIA, termasuk dalam pemasaran e-dagang, para peserta program daripada kumpulan B40 telah berjaya menongkah trend dengan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sewaktu pandemik.

“Seramai 5,675 orang daripada komuniti tempatan kini diperkasakan dengan latihan peningkatan kemahiran dan keusahawanan dan telah berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM71.9 juta melalui program empowerNCER dan JomNiaga@NCER,” katanya.

Sementara itu, seramai 9,313 graduan dan pekerja yang diberhentikan telah berjaya mendapat penempatan pekerjaan dalam pelbagai industri melalui NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan [email protected] BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

558
Kongsi :
Previous post Agong berkenan saksi persembahan demonstrasi antikeganasan PDRM
Next post SPRM serbu pejabat MARA siasat dakwaan salah laku
Ubah saiz-+=