PM hargai sumbangan Abu Kassim perangi rasuah
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan beliau atas segala usaha dan sumbangan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam memerangi rasuah dan memastikan integriti tadbir urus negara berada pada tahap yang tertinggi.
Muhyiddin berkata Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang bertujuan menangani isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh merupakan antara inisiatif yang dibangunkan oleh GIACC di bawah kepimpinan Abu Kassim dan dilancarkan pada Januari tahun lepas.
“Tan Sri Abu Kassim yang saya kenali ini merupakan seorang yang sangat proaktif, punya banyak buah fikiran untuk menambah baik tadbir urus negara, tegas dan pastinya seorang yang berintegriti dan komited terhadap tugasan beliau,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau telah menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Abu Kassim yang akan bersara wajib pada 5 Dis ini.
Sebelum dilantik untuk mengepalai GIACC, Abu Kassim merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Oktober 2010 hingga Julai 2016.
Perdana Menteri turut mengucapkan syabas dan tahniah serta mendoakan agar Abu Kassim diberi kebahagiaan, sambil menyatakan bahawa bukan mudah untuk mencari pengganti beliau. – BERNAMA