Sorting by

×

PM berbuka puasa bersama Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara

Masa Membaca:54 Saat

PUTRAJAYA, 10 April- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berbuka puasa bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Seri Perdana di sini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 300 tetamu itu turut disertai Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Menteri-Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen kerajaan, turut hadir Ahli Parlimen pembangkang seperti Lim Kit Siang, Anthony Loke Siew Fook, Mohamad Sabu dan Teresa Kok.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sebahagian besar tetamu yang hadir sebelum itu menghadiri taklimat Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Puspanitapuri, Presint 10 berhampiran Seri Perdana.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran 31 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez, Gombak Selangor dan Ismail Sabri meluangkan masa beramah mesra dengan mereka.

Beliau kemudian menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.

Seri Perdana, yang dibina pada 1997, merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post MOTAC sasar pendapatan pelancongan antarabangsa cecah RM77 bilion pada 2025
Next post Rapid Bus siasat kejadian
Ubah saiz-+=