PM Anwar harap Nurul Ain kongsi situasi di Gaza sebaik pulang ke tanah air
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Nurul Ain Haron, warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza bersama suaminya warga Palestin Mohamed A.M Shaat, untuk menjelaskan situasi di Palestin kepada rakyat di negara ini sebaik pulang ke tanah air.
Dalam panggilan video bersama Nurul Ain dan suaminya, Anwar yang ketika ini berada di Makkah melahirkan rasa syukur, selepas Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar dari kawasan konflik itu melalui Lintasan Sempadan Rafah semalam.
“Insya-Allah kita akan terus membantu. Semalam saya pun tunggu (perkembangan) di Makkah ni, kita semua berdoa.
“Nanti dah sampai ke Malaysia rehat sekejap, kemudian terus bertugas untuk jelaskan (apa yang berlaku di Gaza kepada rakyat Malaysia). Kita doakan selamat berlepas ke Kuala Lumpur,” kata Anwar menerusi panggilan video yang berlangsung kira-kira lima minit.
Nurul Ain dan suaminya dijangka berlepas ke Malaysia malam ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan Nurul Ain dan Mohamed selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad (12 Nov) pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).
Anwar berkata usaha membawa keluar Nurul Ain dan suaminya merupakan hasil daripada pertemuannya dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Okt lepas.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Abdel Fattah yang mempermudahkan urusan membawa keluar rakyat Malaysia itu bersama suaminya.
“Tidak mudah tapi kita cuba sedaya upaya. Kita lakukan yang terbaik bercakap dengan (Presiden Turkiye Recep Tayyip) Erdogan, Abdel Fattah, Presiden Iran Ebrahim Raisi dan (Putera Mahkota Arab Saudi) Putera Mohammed Salman.
“Saya sedang lakukan yang terbaik bagi mendapatkan sokongan kuat bagi menghentikan pembunuhan, kekejaman oleh Israel. Semua ini sesuatu yang melampaui batas pemikiran manusia,” kata Anwar.
Sementara itu, Nurul Ain berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia kerana berusaha membawa beliau dan suami untuk keluar dari Gaza.
Menurut Nurul Ain pada awalnya beliau dan suami yang merupakan warga Palestin mahu terus tinggal di Gaza, namun akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan bergolak itu disebabkan keadaan yang semakin meruncing.
“Alhamdulillah terima kasih kerana doa dan sokongan semua. Setakat ini, keluarga semua berada dalam keadaan baik,” katanya.
Nurul Ain juga berkongsi disebabkan suaminya merupakan pemegang pasport Palestin, perjalanan mereka berdua untuk keluar dari Gaza melalui Lintasan Sempadan Rafah bukanlah mudah dan terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama.
Nurul Ain, 37, dilaporkan ke Gaza mengikuti suaminya, Mohamed, 33, pada 1 Okt lepas, selepas enam tahun berkahwin.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.