PLUS tambah 12 lorong RFID, kurangkan kesesakan di Plaza Tol – Nanta

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Jan – PLUS Expressway Berhad akan menambah 12 lorong teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) selewat-lewatnya pertengahan April ini sebagai permulaan susulan rungutan pengguna lebuh raya berhubung kekurangan lorong berkenaan yang menyebabkan kesesakan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu dicapai hasil pertemuan beliau dengan wakil dari kumpulan Touch ‘n Go Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Malaysia pagi ini bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai isu kesesakan di plaza tol yang menggunakan RFID seperti diutarakan pengguna lebuh raya.

“Berdasarkan rungutan yang banyak diterima, rata-rata pengguna transaksi ini mengeluh mengenai kekurangan laluan transaksi RFID yang menyebabkan kesesakan teruk di plaza tol.

“Isu keselamatan juga turut dibangkitkan di mana pengguna jalan raya mempersoalkan kedudukan laluan RFID di plaza tol yang berubah-ubah yang telah menyebabkan kemalangan.

“Dalam pertemuan ini, saya sudah mengarahkan tindakan diambil secepat mungkin yang menjurus kepada penyelesaian masalah di samping memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Sistem RFID menggunakan cip frekuensi radio yang terkan­dung dalam satu pelekat yang ditampal pada sesebuah kenderaan dan akan menggantikan pera­nan peranti tag pintar (SmartTAG).

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan memaklumkan 12 lorong RFID di lebuh raya bawah kumpulan PLUS berkenaan membabitkan Plaza Tol Sungai Besi (Plaza Tol Masuk), Jalan Duta (Plaza Tol Masuk), Shah Alam (Plaza Tol Masuk) dan Sungai Buloh (Plaza Tol Masuk).

Plaza tol lain ialah Rawang Selatan (Plaza Tol Masuk), Setia Alam (Plaza Tol Keluar dan Masuk)Subang (Plaza Tol Masuk)Putra Mahkota (Plaza Tol Masuk) dan Kajang (Plaza Tol Masuk).

Selain itu, Plaza Tol Kubang Semang bagi Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

LLM turut menasihatkan pengguna lebuh raya memastikan baki e-wallet untuk penggunaan lorong RFID adalah mencukupi dan memastikan pemilihan lorong yang menggunakan kaedah (mode) bayaran yang sama sewaktu masuk dan keluar plaza tol.

Sebarang pandangan boleh disalurkan dengan menghubungi LLM di talian 1-800-88-7752 serta laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1615
Kongsi :
Previous post Perhimpunan Agung Khas UMNO lulus dua pindaan perlembagaan parti
Next post Paya Lebar produk Tahun Melawat Melaka 2024
Ubah saiz-+=