Plus jangka pergerakan dua juta kenderaan pada Tahun Baharu Cina
AYER KEROH 13 Januari – Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan aliran trafik di lebuh raya miliknya akan mencecah kepada dua juta kenderaan sepanjang musim cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina nanti.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, jangkaan itu adalah bagi tempoh 19 hingga 24 Januari ini berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung atau bercuti.
“Kami sudah bersedia untuk menghadapi peningkatan jumlah kenderaan itu nanti terutama pergerakan trafik pada waktu puncak bagi tarikh dinyatakan tadi.
“Dijangka peningkatan jumlah kenderaan adalah sebanyak 20 peratus berbanding hari biasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 19 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim.
Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata bagi menguruskan peningkatan trafik pihaknya mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai panduan kepada pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan mereka.
“Selain mengeluarkan jadual TTA, kami juga menghentikan sementara semua kerja penyelenggaraan jalan yang memerlukan penutupan lorong bermula 20 hingga 25 Januari. Biarlah semua lorong boleh digunakan untuk melancarkan trafik.
“Pada masa sama, Plus turut menggunakan semua saluran komunikasi termasuk platform media sosial untuk membuat hebahan maklumat trafik terkini kepada orang ramai,” katanya.
Beliau menyarankan orang ramai melayari Twitter PLUSTrafik untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan lalu lintas selain panduan maklumat dipaparkan papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya.
Selain itu pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Plus dan aplikasi lain seperti Waze dan Google Map untuk merancang perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Boleh juga berkomunikasi dengan PUTRI Chatbot Plus yang beroperasi 24 jam bagi mengetahui maklumat terkini lebuh raya termasuk semakan kadar bayaran tol,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.