PLKI-ECRL tawar 5,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan
KOTA BHARU, 18 Mei – Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menawarkan 5,000 peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan di Pantai Timur menerusi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL).
Ketua Bahagian Strategi MRL Zaidi Sharif berkata setakat ini program berkenaan yang ditawarkan bermula tahun 2018 itu telah disertai oleh 1,800 pelatih bagi fasa pertama membabitkan fasa pembinaan.
Beliau berkata dari segi bidang latihan, program itu menawarkan pelbagai latihan kepada pelatih, termasuk kerja-kerja mahir dalam bidang pembinaan, operator jentera berat, bahagian elektrik, juruukur dan sebagainya.
“Pada bulan pertama latihan, pelatih akan dihantar ke pusat-pusat kemahiran di sekitar Pantai Timur dan apabila memasuki bulan kedua mereka akan dihantar menjalani latihan amali di tapak-tapak pembinaan projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka ECRL di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan dan Pengarah Infra MRL Nor Rizan Md Akhir.
“Kita berharap anak-anak tempatan khususnya di Pantai Timur untuk segera menawarkan diri untuk menyertai program ini memandangkan mereka akan diberikan latihan teknikal dan juga jaminan pekerjaan,” katanya.
Mengulas lanjut Zaidi berkata setakat ini 500 pelatih yang telah menjalani latihan menerusi program yang ditawarkan berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat latihan dengan kadar gaji bermula RM1,800 sehingga mencecah RM2,500.
Katanya pelatih yang menyertai program itu juga turut diberikan elaun latihan dan praktikal RM300 sebulan bergantung kepada pusat latihan dan tapak pembinaan selain kos latihan, makan minum dan tempat penginapan ditanggung.
“Bagi fasa kedua kita menyasarkan 3,200 pelatih akan menyertai program ini untuk bahagian operasi yang akan bermula dalam tempoh dua atau tiga tahun sehingga ia tamat pada tahun 2025,” tambahnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.