Plastik mesra alam guna ubi kayu dan daun pisang

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 Mac – Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan produk inovasi bekas plastik mesra alam yang dihasilkan daripada ubi kayu dan daun pisang.

Ketua Penyelidik yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), Dr. Ridhwan Jumaidin berkata, bekas plastik bentuk dulang itu bukan sahaja selamat malah mudah dilupuskan, sekali gus mengurangkan implikasi pencemaran alam.

Dr. Ridhwan berkata produk inovasi itu juga bebas daripada toksid atau kimia kerana bahan asasnya adalah sifar petroleum.

“Jika ditanam daun pisang boleh lupus dalam tempoh lapan minggu sahaja. Selain mesra alam ianya selamat digunakan kerana bersifat termoplastik iaitu boleh dikitar semula bagi menghasilkan bentuk produk yang berbeza.

“Kaedah ini membantu menjimatkan sumber yang digunakan dan memberi tambah nilai kepada produk inovasi ini,” ujarnya.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 6.00.14 PM
KETUA Penyelidik Dr. Ridhwan Jumaidin menunjukkan produk dihasilkan.

Menurutnya produk inovasi ini dibangunkan sekumpulan penyelidik FTKMP iaitu Ilya Rosyafiqah Jaffry Ros, Nuraliah Ahmad Diah, Dr. Mastura Mohamad Taha, Dr. Syahibudil Ikhwan Abdul Kudus, Febrian Idral, Dr. Nuzaimah Mustafa, Dr. Yusliza Yusuf, Dr. Syahrul Azwan Sundi@Suandi dan Dr. Nazri Huzaimi Zakaria.

Katanya turut menyumbang idea untuk menghasilkan produk inovasi itu adalah empat penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) iaitu Dr. Mohd Adrinata Shaharuzaman, Dr. Noryani Muhammad, Dr. Nadlene Razali dan Dr. Muhd Ridzuan Mansor.

“Idea awal membangunkan produk inovasi ini adalah berdasarkan realiti semasa alam sekitar yang semakin tercemar akibat pembuangan sisa plastik yang tidak lupus ke dalam sungai, laut dan tanah.

“Hal ini membahayakan keseimbangan alam, flora dan fauna seperti kes penemuan plastik di dalam perut penyu serta ikan paus yang menjadi punca kematian hidupan eksotik.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 5.11.56 PM (2)
PRODUK dihasilkan dengan pelbagai bentuk.

Dia memberitahu sumber semulajadi daun pisang yang senang didapati di Malaysia turut menjadi pencetus kepada idea menghasilkan produk berkenaan.

“Daun pisang terbuang sebagai bahan utama yang kemudiannya digabungkan dengan ubi kayu bagi menghasilkan plastik yang selamat untuk digunakan dan juga mesra alam.

“Kami ambil masa hampir setahun untuk menghasilkan produk ini dengan menggunakan dana Geran Penyelidikan Jangka Pendek. Cabaran utama adalah untuk mendapatkan kestabilan dan kekuatan bahan dan daun pisang menjadi teras serta struktur peneguh.

“Plastik mesra alam ini disasarkan menjadi bahan utama dalam penghasilan produk sekali guna (single-use product) yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, sebagai universiti teknikal berprestij UTeM menerusi kumpulan penyelidiknya terus kreatif dan inovatif membangunkan produk inovasi yang memberi impak kepada komuniti sejagat.

Jelasnya, budaya penyelidikan dan perkongsian kepakaran UTeM terus diperkasakan lalu menampakkan hasil yang berimpak tinggi buat semua selari dengan peranan UTeM.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 5.11.57 PM
PRODUK dihasilkan dengan pelbagai bentuk.

“Penyelidikan yang dijalankan mengikuti arus semasa dan kami sentiasa bersama menerajui gelombang kemodenan teknologi yang berlaku di peringkat nasional dan global,” ujarnya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut berkenaan produk inovasi tersebut beliau menyatakan pembangunan plastik daripada daun pisang ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia melalui Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3386
Kongsi :
Previous post Cahaya tidak hirau ‘diejek’
Next post 8,406 anak asnaf terima bantuan pakaian sekolah MAIM
Ubah saiz-+=