PKRC awam MITC jangka terima pesakit jam 2 petang ini
AYER KEROH 21 Mei – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam pertama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dijangka menerima 40 hingga 80 pesakit terawal pada jam 2 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, seramai 125 pesakit sedang dinilai oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) negeri untuk dimasukkan di PKRC tersebut.
“Daripada jumlah itu kita jangka akan terima antara 40 ke 80 orang pesakit yang berisiko rendah untuk ditempatkan di sini hari ini.
“Selebihnya pesakit akan ditempatkan di Hospital Melaka,” katanya kepada pemberita di PKRC MITC hari ini.
Menurut Rahmad, PKRC awam itu setakat ini menyediakan 1,500 katil dan jumlah itu boleh ditingkatkan sehingga 11,800 katil.
“Sebelum ini kita ada juga PKRC lain seperti Pusat Koreksional Jasin, Depot Tahanan Machap Umboo di Alor Gajah, Penjara Sungai Udang dan Sekolah Hendry Gurney di Telok Mas.
“Tapi ini adalah PKRC awam yang pertama dan akan menempatkan hanya rakyat Negeri Melaka dan juga pekerja asing berdaftar yang berkerja dalam negeri ini.
“Seramai 200 petugas kesihatan akan ditempatkan setiap hari dalam pelbagai kategori penugasan dan tambahan lagi 200 petugas sokongan, keselamatan dan lain lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rahmad berkata setakat ini sebanyak 271 katil untuk pesakit COVID-19 turut disediakan di Hospital Melaka.
“Untuk wad atau penempatan pesakit di Hospital Melaka kita ada sebanyak 1,101 katil yang mana 271 katil dikhaskan untuk pesakit COVID-19 dan telahpun diisi oleh seramai 178 pesakit.
“Di unit rawatan rapi (ICU) telah diisi seramai 114 pesakit atau 158.3 peratus, bagi kes COVID-19 pula sebanyak 70 katil ICU disediakan dan telah diisi oleh seramai 45 pesakit (64.7 peratus), 10 daripadanya menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.