PKRC 2.0 MAEPS tidak seburuk yang ditularkan – Redzuan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

GADEK 9 Jan. – Keadaan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor tetap terurus dan dalam keadaan sempurna.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya pusat itu menjadi kelam-kabut akibat pesakit positif COVID-19 yang didakwa sudah terlampau ramai.

Sebaliknya, beliau menegaskan masih ada banyak ruang yang mampu memuatkan pesakit positif COVID-19 tetapi tidak bergejala berikutan hanya ada kira-kira 6,000 pesakit sekarang berbanding kemampuan sebenarnya menampung 8,028 pesakit.

Beliau menegaskan, sudah lumrah berlaku apabila tempat yang penuh sesak dengan orang ramai, keadaan akan menjadi kurang teratur tetapi ia tidak mencapai tahap serius seperti yang tular dalam laman sosial kononnya pusat itu menjadi kelam-kabut sekarang.

“MAEPS mampu menampung 8,028 pesakit positif tetapi tidak bergejala dan sudah semestinyalah apabila sudah ramai pesakit, bermacam-macam karenah dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pakaian, kasut dan beg sekolah kepada 1,100 murid dari 101 sekolah dalam Parlimen Alor Gajah pada program Kembali ke Sekolah di Balai Raya Ganun, Gadek di sini hari ini.

Sebanyak RM165,000 disediakan bagi membolehkan murid daripada golongan keluarga B40 memperoleh barangan itu pada nilai RM150 seorang, sekali gus meringankan beban ibu bapa menyediakan peralatan persekolahan menjelang sesi persekolahan yang dijadualkan bermula pada 22 Januari ini.

Beliau mengulas keadaan di PKRC berkenaan yang tular dalam laman sosial kononnya keadaan menjadi tidak terurus berikutan kesesakan pesakit yang didakwa terlalu ramai.

Mohd Redzuan menjelaskan, pesakit terbabit harus menyesuaikan diri dengan keadaan di PKRC dan tidak seharusnya menganggap segala-galanya perlu disediakan untuk mereka.

“Contohnya, perut saya mungkin tidak sesuai jika minum air mentah di negeri lain berbanding di Kuala Lumpur dan tidak mungkin saya boleh meminta kerajaan negeri itu menyediakan sistem rawatan air yang khusus untuk saya sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan segala kekurangan di pusat berkenaan akan cuba diatasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari semasa ke semasa dan pesakit diminta memberikan kerjasama bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

Katanya, hanya pesakit positif tetapi tidak bergejala yang ditempatkan di PKRC 2.0 MAEPS manakala yang bergejala atau benar-benar sakit dirawat di hospital.

Views:

423
Kongsi :
Previous post Khatan Perdana bantu golongan memerlukan
Next post Pembinaan Surau Hj Harun diteruskan
Ubah saiz-+=