Sorting by

×

PKPP: Tiga lokasi utama masih kekalkan SJR

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ALOR GAJAH 11 Jun – Polis Melaka mengekakan tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) di tiga lokasi tumpuan negeri ini bagi membendung aktiviti penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superitendan Hasan Basri berkata, SJR berkenaan akan dikekalkan dan diteruskan pengoperasian selama 24 jam.

Menurutnya, tiga lokasi ‘panas’ membabitkan dua lokasi di Daerah Alor Gajah dan satu di Jasin telah dikesan sebagai lokasi utama laluan penyeludupan kemasukan warga asing di negeri ini.

“Pada masa sama, kita bukan sahaja akan menumpukan pada laluan lebuh raya malah melalui bantuan unit pasukan peronda juga turut menjalankan pemantauan ketat pada kawasan utama yang menjadi tumpuan pelancong di sekitar Bandaraya Melaka.

“Kita menjangkakan pada hujung minggu ini juga kadar kedatangan pelancong akan bertambah terutama membabitkan di pintu masuk negeri iaitu tol dan kawasan bandar.

“Kami menasihatkan sesiapa sahaja yang memasuki negeri ini perlulah menjalankan pemanduan berhemah dan berhati-hati semasa di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjalankan pemantauan di Lebuhraya Utara Selatan, di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut beliau, hasil pemantauan terbabit keadaan aliran trafik di plaza tol utama negeri ini didapati semakin meningkat sejak pagi semalam.

Ujar beliau, keadaan berkenaan dilihat semakin meningkat menjelang tengah hari berbanding pada waktu pagi, namun keadaan adalah terkawal

“Bagaimanapun pihak polis akan sentiasa memantau keadaan lalu lintas di negeri ini dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Baru-baru ini, melalui Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadualkan tamat kelmarin.

PKPP yang diumumkan itu telah memberi kelonggaran kepada beberapa perintah yang diperketatkan termasuk kebenaran merentas negeri, membenarkan beberapa aktiviti pelancongan serta pelbagai lagi.

Views:

451
Kongsi :
Previous post Sekolah dibuka 24 Jun, libat pelajar peperiksaan awam, antarabangsa – Radzi Jidin
Next post Melaka River Cruise sedia sambut kehadiran pengunjung
Ubah saiz-+=