Sorting by

×

PKPP di Melaka, 8 negeri dilanjutkan sehingga 17 Mei

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PUTRAJAYA 27 April. – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Melaka, Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, serta dua wilayah iaitu Putrajaya dan Labuan dilanjutkan sehingga 17 Mei depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya, sebentar tadi, selepas mendengar penerangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi dan penilaian risiko pandemik COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil berikutan masih berlakunya peningkatan kes positif COVID-19 serta zon merah di negara ini, selain nilai R-naught atau kadar kebolehjangkitan juga menunjukkan angka melebihi 1.0 sejak 20 hari lalu.

Selain lapan negeri dan wilayah itu, Ismail memaklumkan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan ke atas lima negeri iaitu Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak dilanjutkan sehingga 17 Mei.

Selain itu, katanya, Kelantan kekal menjadi satu-satunya negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala Sabah bertukar status dari PKPP ke PKPB.

“Kesemua 10 jajahan atau daerah di Kelantan menunjukkan insiden meningkat dan hasil penilaian risiko, mesyuarat memutuskan untuk mengekalkan perintah PKP.

“Manakala bagi Sabah, disebabkan zon hijau semakin berkurangan dan zon merah meningkat maka, status Sabah bertukar dari PKPP ke PKPB berkuatkuasa 29 April hingga 17 Mei depan.

“Walaupun ada beberapa negeri menunjukkan penurunan kes, namun trend masih tidak stabil, selain berlakunya pertambahan bilangan kluster sosial dan pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijanjikan akan diumumkan pada hari ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi masa kepada agensi berkaitan untuk memperhalusi segenap aspek.

“Saya difahamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Keselamatan Negara masih memperhalusi SOP tersebut dan Insya-Allah apabila selesai kita akan umumkan pada waktu terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post Senarai akhir atlet Sukan Olimpik dimuktamad Julai
Next post Kumpulan kedua atlet sukan bola sepak terima vaksin pada Mei
Ubah saiz-+=