PKPP: Cameron Highlands kembali ‘panas’

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

CAMERON HIGHLANDS, 29 Jun — Selepas hampir tiga bulan sunyi dan lengang, kawasan pelancongan tanah tinggi Cameron Highlands ini, kembali ‘panas’ dengan kunjungan orang ramai, berikutan kelonggaran yang diberikan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Suhu dingin kadang kala serendah 14 darjah celsius, menjadikan Cameron Highland antara tumpuan pelancong domestik, lebih-lebih kerajaan belum membenarkan percutian ke luar negara dan antara lokasi wajib kunjung pastinya pasar Kea Farm, ladang teh serta kebun bunga.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Pahang Datuk Idros Yahya berkata, pihaknya mendapati kehadiran pelancong selepas kebenaran merentas negeri, tertumpu kepada kawasan ekotourism dan lokasi makanan yang enak.

“Ramai rakyat suka mengunjungi negara beriklim sejuk seperti New Zealand, China, Korea dan Jepun, namun apabila mereka tidak boleh membuat perjalanan keluar negara, mereka mencari kawasan pelancongan kawasan tanah tinggi terutamanya Cameron Highlands,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menarik perhatian, sebanyak 109 hotel di Cameron Highlands mula menerima tempahan, beberapa jam selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran rentas negeri, termasuk pelancongan domestik pada 7 Jun lalu.

Idros turut menyarankan pengusaha di sekitar tanah tinggi itu supaya menggunakan kreativiti, dengan melakukan pembaharuan produk pelancongan, supaya dapat menarik lebih ramai kehadiran pengunjung dan memastikan mereka tinggal lebih lama di premis yang ada.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Copthorne Cameron Highlands Patrick Tee berkata, penutupan hotel semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memberi kesempatan kepada pihaknya untuk memperbaiki modul perniagaan dan meningkatkan strategi pemasaran premis, yang beroperasi sejak 1996.

Beliau berkata, selain melakukan sanitasi dan penyelenggaraan di sekitar hotel yang mempunyai 317 bilik itu, pihaknya turut merancang program-program menarik antaranya ‘7 Wonders Copthorne Hotel’, yang memperkenalkan tujuh lokasi menarik untuk dikunjungi di kawasan berhampiran antaranya pasar Kea Farm.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti pengambilan suhu badan juga diamalkan, selain tetamu boleh mendaftar masuk tanpa berurusan di kaunter menerusi aplikasi Sanarp, supaya lebih selamat tanpa sentuhan,” katanya.

Tinjauan Bernama di pasar Kea Farm mendapati, para pengunjung diwajibkan menulis nama dan nombor telefon pada buku catitan, memakai pelitup muka serta pengambilan suhu badan turut dibuat, sebelum mereka dibenarkan memasuki kawasan jualan sayuran dan buah-buahan segar itu sebagaimana SOP ditetapkan.

Seorang peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan Chong Siew Yoong, 50, berkata, penutupan pasar itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 90 hari adalah yang pertama kali dialaminya, selama lebih 20 tahun berniaga, namun akur dengan SOP ditetapkan untuk membantu mengekang penularan COVID-19.

Chong berkata, kehadiran pelancong yang lebih ramai sekarang terutama hujung minggu, membuatkan pengusaha kebun dan peniaga bersemangat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dengan menjual pelbagai produk sayur dan buah segar.

— BERNAMA

Views:

1147
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,007 orang pagi Ini
Next post Prasekolah, tadika dibuka Rabu ini, persiapan rapi buat si cilik
Ubah saiz-+=