PKPB: Zoo Melaka kembali beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 19 Feb. – Selepas lebih sebulan ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, Zoo Melaka kini kembali dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, pembukaan itu bagaimanapun dihadkan hanya kepada 1,000 pengunjung pada satu-satu masa, sekaligus mematuhi arahan kerajaan yang hanya membenarkan kapasiti 50 peratus pengunjung sahaja.

“Jadi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 4 Mac depan, Zoo Melaka hanya membenarkan 1,000 pengunjung sahaja berbanding 2,000 orang di kawasan seluas 20.23 hektar ini selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Bagaimanapun kita menjangkakan bilangan pengunjung masih rendah sepanjang tempoh ini berikutan sekatan rentas daerah dan negeri yang masih dilaksanakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambahnya, zoo berkenaan bagaimanapun hanya akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang sahaja dan operasi Night Safari akan dihentikan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

“Sebagai daya penarik kehadiran pengunjung khususnya rakyat di negeri ini, kami akan meneruskan tawaran diskaun 30 peratus bagi pembelian tiket secara dalam talian dan diskaun 10 peratus bagi anak Melaka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shadan turut berharap kerajaan mempertimbangkan kelonggaran bagi aktiviti rentas daerah bagi memberi peluang kepada rakyat negeri ini melepaskan tekanan sepanjang PKP 2.0 dengan membawa anak-anak melihat haiwan.

“Melaka ini negerinya kecil, jadi saya berharap kelonggaran itu diberikan dan saya difahamkan juga kerajaan negeri sedang memohon kelonggaran merentas daerah ini,” katanya lagi.

 

Views:

595
Kongsi :
Previous post Peserta teruja ikuti kursus keusahawan
Next post Trend penyalahgunaan dadah kalangan belia di Melaka membimbangkan
Ubah saiz-+=