Sorting by

×

PKPB sambung atau tidak? Tunggu PM umum hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jun — Persoalan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan atau tidak, dijangka diketahui hari ini menerusi perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman yang bakal disampaikan itu tepat pada masanya memandangkan tempoh PKPB yang bermula 4 Mei lepas akan berakhir dua hari lagi iaitu pada 9 Jun.

Jika diimbas, sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas dengan hanya perkhidmatan perlu dibenarkan, kerajaan kemudian memberi kelonggaran secara berperingkat kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi.

Terbaharu adalah perkhidmatan gunting, dandanan rambut dan kecantikan yang dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam.

Semestinya ia berita gembira untuk masyarakat, apatah lagi buat kaum Adam yang sering tertanya-tanya bilakah kedai gunting rambut akan dibuka. Mana tidaknya, lebih dua bulan tidak mendapat sentuhan pendandan rambut, pelbagai ‘gaya’ dapat dilihat dalam kalangan mereka sehingga ada yang menggunakan khidmat isteri sendiri untuk menggunting rambut.

Bagi wanita pula, khidmat kecantikan termasuk merias dan merawat kuku serta solekan dan rawatan muka juga dibenarkan beroperasi bermula pada tarikh sama.

Selain itu, peniaga di pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan kini boleh menarik nafas lega apabila premis berkenaan dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sama ada PKPB disambung atau tidak, normal baharu yang telah diamalkan sekarang seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan termasuk kerap mencuci tangan tetap perlu diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Selain itu, elakkan tempat sesak, kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat seperti yang dinasihatkan oleh ‘jeneral perang COVID-19’, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari.

Setakat semalam, jumlah jangkitan kes baharu positif COVID-19 masih kekal dua angka iaitu 37 kes dengan 10 kes melibatkan warganegara Malaysia.

— BERNAMA

Views:

297
Kongsi :
Previous post Take advantage of tax exemption to revive tourism industry, says Melaka CM
Next post Belum ada keputusan pasar malam di Melaka dibenar operasi mulai 15 Jun
Ubah saiz-+=