PKPB: Pengusaha pelancongan ‘tukar’ teknik berniaga
BANDARAYA MELAKA 9 Nov. – Pemain industri pelbagai sektor perlu lebih kreatif merancang dan menyusun strategi berdepan kelembapan ekonomi akibat COVID-19.
Susulan itu, semua pihak perlu melakukan pelbagai persediaan bagi menghadapi fasa baharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan virus yang bermula 9 November hingga 6 Disember akan datang.
Bagi William Cheong, pemilik pusat rawatan refleksologi Grand Palace Spa yang beroperasi di Melaka Raya, pengalamannya melalui PKPB sebelum ini, membolehkannya lebih kreatif memikirkan solusi dan persediaan menghadapi arahan terbaru yang diwartakan kerajaan.
Katanya, usaha merancakkan semula sektor pelancongan di Negeri Melaka agak sukar, jadi pemain industri tidak lagi boleh berfikir cara ketika sebelum COVID-19, sebaliknya perlu lebih kreatif untuk kembali menjana pendapatan.
“Meskipun akur terhadp pematuhan SOP yang ketat, saya perlu menyusun pelan alternatif dengan memperkenalkan ‘mobile spa’ sebagai kaedah terbaik untuk meneruskan kesinambungan perniagaan.
“Saya perlu menyusun semula strategi pemasaran dengan menawarkan promosi dan perkhidmatan yang lebih kompetitif kepada pelanggan, katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Bagi pemilik Hotel Al-Abraar, Salmidah Palmaany, pendemik ini merupakan cabaran terbesar pernah dihadapi memandangkan perniagaan diusahakan bergantung sepenuhnya terhadap kerancakan sektor pelancongan.
Katanya, jika sebelum ini Hotel Al Abraar bertaraf dua bintang yang beroperasi di Melaka Raya itu sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pelancong dari Indonesia dan Singapura, namun sejak awal tahun perniagaan mula merudum teruk.
“Disebabkan sempadan negara masih ditutup, ia memberi kesan besar kepada pemain dalam sektor pelancongan dan inilah masanya untuk memberi perhatian kepada pelancongan domestik serta mengaktifkan semula kempen menarik pelancong tempatan.
“Pihak pengurusan juga sedang memikirkan bagaimana untuk terus bertahan kerana selagi tiada pelancong datang selagi itulah kami akan menanggung kerugian.
“Saya turut berharap akan mendapat manfaat yang diumumkan kerajaan menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta dalam Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.
Sementara itu, pemilik Restoran Nasi Ayam Baba (NAB), Ahmad Shukri Shukor pula melihat pendemik ini sebagai alternatif untuk menukar kaedah lazim pemasaran restoran kepada strategi lain yang lebih kreatif.
Shukri yang memiliki tiga cawangan restoran NAB menyasarkan peningkatan ‘marketing method delivery’ bagi mengurangkan pergerakan selain menggalakkan pekerja bekerja dari rumah.
” Saya akur dan perlu patuh mengawal pergerakan mengikut saranan kerajaan namum dalam masa sama perlu meminimumkan kos operasi kerana memikirkan sebarang kemungkinan dan kesan jangka panjang.
“Selain itu saya juga meninjau peluang dan pakej yang ditawarkan oleh pihak bank atau agensi kerajaan untuk terus bertahan dalam kelangsungan perniagaan ini, “katanya yang memiliki 23 pekerja.
Bagi Mohd Nazrul Afendi pula, penularan pandemik menyebabkan dia kehilangan kerja, namun masih berupaya meneruskan kelangsungan hidup dengan membuka gerai burger berhampiran rumah.
Katanya, pengalaman menguruskan kehidupan dalam fasa PKPB pada Mac hingga Julai lalu dijadikan panduan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan kecil yang baru diusahakannya tiga bulan lalu.
“Alhamdulillah, perniagaan kecil-kecilan yang saya usahakan semasa musim Covid ini mendapat sambutan dan kebanyakan pelanggan pun dari kalangan penduduk taman, pelajar universiti yang menyewa di kawasan berhampiran serta pekerja kilang.
“Saya juga bimbang apabila PKPB dilaksanakan lagi, tetapi positif bahawa dengan lebih ramai isi rumah yang tidak keluar bekerja sebenarnya saya akan ada lebih ramai pelanggan.
“Dalam situasi ini saya tidak boleh bergantung pada jualan di gerai semata-mata sebaliknya juga perlu lebih rajin mencari tempahan dan menghantar ke rumah pelanggan, ” katanya positif.
Sementara Nurfarahin Ismail pula berkata, dalam suasana yang kita sama-sama merasainya sekarang, kita tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri dan melakukan penentangan terhadap apa jua peraturan ditetapkan kerajaan.
Selaku anak yang memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa dan seorang adik, beliau mengakui sangat peka terhadap situasi sekeliling bagi mengelak daripada sebarang musibah tidak diingini.
“Kadang saya kesal kerana masih terdapat segelintir yang memandang ringan setiap peraturan yang dilaksanakan padahal ia bermatlamat untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Jadi, dalam ketika mana negara sedang ‘bertempur’ dengan serangan wabak penyakit seperti sekarang ini, kita perlu mempamerkan sikap taat kepada negara dan pemimpin dengan mematuhi setiap aturan ditetapkan,” ujarnya.