PKPB: Boleh solat dalam masjid

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 8 Nov. – Umat Islam di negeri ini dibenarkan menunaikan solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di masjid meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan selama empat minggu mulai esok.

Kebenaran itu diberikan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil melalui kenyataannya hari ini.

Bagaimanapun, jemaah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) seperti mengambil wuduk di rumah, solat dalam keadaan jarak satu meter dan memakai pelitup muka.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka berkata, kelas takmir, kuliah subuh, kelas ilmu berskala kecil dan majlis bacaan surah Yasin pada malam Jumaat juga dibenarkan berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun, ceramah Maulidur Rasul dan ceramah jemputan rentas negeri dan dalam negeri yang berskala besar ditangguhkan sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Jabatan Mufti juga tidak membenarkan jamuan makan selepas kelas takmir atau bacaan surah Yasin, sebaliknya jemaah hanya dibenarkan membawa pulang makanan disediakan di masjid atau surau.

“Mengenai urusan pernikahan di masjid dan surau, ia tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Pendaftar Perkahwinan Daerah masing-masing,” katanya.

Jabatan berkenaan mengeluarkan arahan masjid dan surau ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 11 Jun lalu.

Bagaimanapun, solat berjemaah dibenarkan semula di semua masjid dan surau pada 12 Jun lalu berikutan pelaksanaan PKPB.

Selain itu, Jabatan Mufti Melaka membenarkan orang ramai kembali melakukan aktiviti keagamaan yang lain, terutama kelas takmir.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hassim Hassan dilaporkan berkata, semua penganjuran majlis dan acara rasmi kerajaan negeri yang berskala besar, termasuk perarakan sempena Maulidur Rasul pada 29 Oktober lalu ditangguhkan berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post Orang ramai ‘serbu’ pasar raya
Next post Ekonomi Melaka terus dijaga
Ubah saiz-+=